fbpx

Minuman manis dan kegemukan

Oleh Joy Kalonas
Baru-baru ini kecoh seketika akan pengharaman penjualan minuman bergas (berkarbonat) di sekolah-sekolah oleh Kerajaan Malaysia, meskipun pada hakikatnya minuman bergas sudah lama tidak dijual di kantin-kantin di kebanyakan sekolah. Sekali lagi di sini, mengapa mesti minuman karbonat dipersalahkan, sedangkan penjualan ‘minuman-minuman manis’ yang lain masih lagi dihalalkan? Apakah yang membezakan komposisi nutrien minuman bergas dan minuman-minuman yang lain seperti milo ais, sirap bandung, atau teh tarik?
Minuman Bergas
Berbeza dengan teh tarik yang mungkin sebahagian kecil nilai kalorinya hadir berpunca daripada sumber lemak dan protein, minuman ringan hanya mengandungi gula ringkas semata-mata, dan kalori yang wujud dalam minuman ini juga datang daripada gula semata-mata. Kebiasaannya minuman ringan tidak mengandungi protein dan lemak. Perumpamaan untuk komposisi minuman ringan adalah seperti berikut: Air kosong + Gula + Perisa + Karbonat = Minuman ringan/bergas.
Lebih gula, lebihlah dahaganya
Gula yang terkandung dalam minuman ringan adalah merupakan karbohidrat ringkas yang sudah diproses (refined carbs). Pengambilan karbohidrat ringkas seperti ini akan menggalakkan pembebasan insulin dengar kadar yang banyak dan mendadak dari pankreas yang berfungsi untuk membawa gula ringkas tadi masuk ke dalam sel, lalu menukarkannya kepada glikogen di sana.
Ini sekaligus akan membuatkan paras gula dalam darah jatuh secara mendadak, dan otak akan mula berfikir bahawa badan masih memerlukan ‘sumber makanannya’ – ini mengakibatkan anda akan berasa lebih dahaga (tidak puas dengan apa yang diminum tadi). Akibatnya, sama ada anda akan menambah lagi minuman ringan ini, atau menghabiskan terus sebotol yang dibeli.
Finish soda

Lebih insulin, lebihlah lemaknya

Oleh kerana gula merupakan karbohidrat yang sudah diproses, maka badan tidak akan mengambil masa yang lama untuk mencernakannya. Sifat gula yang mengandungi tinggi glycemix index (G.I) akan membuatkan ia cepat memasuki aliran darah dalam bentuk glukosa, dan dibawa ke serata sel dalam tubuh badan melalui darah dengan bantuan hormon yang kita kenali sebagai insulin.
Sel tidak memerlukan terlalu banyak glukosa untuk menjalankan fungsinya, lalu apakah yang akan berlaku jika ia menerima terlalu banyak glukosa? Glukosa yang berlebihan akan ditukarkan kepada glikogen dan disimpan sementara di dalam sel sehinggalah ia akan digunakan kelak. Namun, persoalan seterusnya akan timbul, apakah yang akan berlaku jika paras glikogen di dalam sel menjadi terlalu tinggi? Glikogen tersebut akan dibawa dan disimpan didalam hati, dan HANYA akan diguna pakai apabila badan berada pada fasa lapar, seperti puasa, dan bersukan berintensiti tinggi (kardio).
Persoalan seterusnya pula akan timbul. Apa pula yang akan terjadi jika paras glikogen dalam hati menjadi terlalu tinggi? (anggap bahawa orang ini mempunyai kadar metabolisma yang rendah, sentiasa makan dan mengamalkan cara hidup yang tidak sihat). Badan akan mengarahkan hormon yang baru sahaja kita kenali tadi, iaitu insulin, untuk menukarkan semua glikogen dalam hati yang berlebihan kepada apa yang kita kaitkan dengan punca obesiti, iaitu LEMAK.

Kesimpulannya?

Dengan mempelajari mekanisma akan bagaimana lemak terbentuk secara asas seperti ini, diharapkan kita akan lebih peka sebelum mengambil sesuatu makanan atau minuman, terutamanya yang mengandungi gula ringkas seperti ini. Pokoknya bukan tidak boleh untuk mengambil gula ringkas langsung, tetapi biarlah mengikut keperluan. Waktu yang disarankan untuk mengambil gula ringkas (minuman ringkas) adalah pada waktu pagi, selepas bersenam atau bersukan, atau ketika berbuka puasa, yang mana ketiga-tiga keadaan ini berkongsi situasi yang sama – paras glikogen dalam badan anda adalah rendah.
Dan soalan terakhir yang saya hendak tinggalkan kepada para pembaca di sini ialah, mengapa Kerajaan Malaysia harus menegah murid-murid daripada membeli minuman manis di kantin ketika waktu rehat SEBELAH PAGI di sekolah? Bukankah mereka (murid-murid) memerlukan guka ringkas segera untuk terus bertenaga pada sebelah pagi di sekolah?

Privacy Preference Center