Panduan memilih Protein yang berkualiti

Joyah: Takkan hari ni ko berdiet dengan makan keropok lekor dan maggi lagi Senah?
Senah: Ye la, keropok lekor dan maggi kari pun dah cukup. Bak kata Kevin Zahri, kita boleh makan apa sahaja, asalkan kita tahu berapa kalori yang diambil, dan kena pastikan kalori yang diambil tu lebih rendah dari kalori keperluan harian, mesti turun berat punyalah.
Joyah: Tapi Kevin cakap, pemakanan yang sihat adalah pemakanan yang seimbang nutrisinya. Habis tu, mana sumber protein ko pulak?
Senah: Keropok lekor dan maggi kan ada protein jugak.. tak percaya, tengok label ni, tengok, tengok! Haa.. ada sumber protein jugak.
Pernahkah anda melalui peristiwa di atas? Pasti agak menyedihkan sekiranya peristiwa di atas benar-benar berlaku di hadapan mata anda. Tetapi inilah senario yang bakal anda perhatikan sekiranya sesuatu perkara itu dipandang remeh.
Memahami "apa itu protein" adalah perlu dalam memastikan protein yang kita ambil itu adalah benar-benar berkualiti. Memang lah semua makanan itu mengandungi protein, tetapi adakah semua protein dalam makanan itu (terutama makanan yang sudah diproses) adalah dari jenis yang berkualiti? Itu belum diceritakan lagi nisbah protein dalam makanan, kerana rata-ratanya makanan-makanan di Malaysia ini amat rendah kandungan proteinnya!
struktur protein
Struktur protein terbina oleh komponen-komponen kecil yang dikenali sebagai Asid Amino. Setiap protein adalah berbeza dan terdiri daripada komposisi asid amino yang berbeza. Protein yang berkualiti adalah protein yang mengandungi kesemua (atau hampir semua) asid amino yang tidak dapat dihasilkan oleh badan manusia, tetapi amat penting untuk kemandirian manusia - kelompok asid amino ini dikenali sebagai Essential Amino Acids (EAA). EAA tidak dapat dihasilkan oleh badan manusia, dan oleh yang demikian ia harus diperolehi sepenuhnya menerusi diet.
Tanya diri anda kembali, adakah keropok lekor dan makanan mee segera itu mengandungi kesemua EAA yang diperlukan manusia? Jawapannya tentulah TIDAK. Perlu diingatkan bahawa EAA adalah sesuatu yang istimewa, atau bahasa mudahnya "high quality". Benda yang "high quality" tidak akan wujud sewenang-wenangnya dalam makanan yang "low quality". Hanya sumber-sumber protein tertentu sahaja yang mengandungi kesemua (hampir semua) komposisi EAA di dalamnya. Antara yang paling mudah didapati di sekeliling kita adalah:
1. Telur
2. Susu
3. Produk berasaskan kacang soya (tempeh, tauhu/tofu)
4. Whey Protein
protein source
Seperkara lagi yang perlu anda ketahui ketika memilih protein, ialah indeks yang dikenali sebagai "Biological Value" of protein (BV). Ia adalah skala ukuran yang menentukan berapa banyak (peratus) protein yang betul-betul diguna pakai oleh tubuh badan dalam menjalankan fungsi-fungsi fisio seperti pertumbuhan, memperbaiki otot, menggantikan sel-sel kulit mati, dan sebagainya. BV sesebuah protein ditentukan berdasarkan sejauh mana sesebuah protein itu berjaya dicernakan berbanding sebiji telur. Telur digunakan sebagai pengukur dalam skala ini memandangkan telur mempunyai kadar pencernaan protein yang terbaik secara semulajadi (telur diberikan nilai ’100?).
Secara asasnya, protein yang mempunyai tinggi nilai BV haruslah diambil ketika kita sedang aktif, atau ketika transisi daripada pasif kepada aktif (sebelah siang, sebelum bersenam, selepas bersenam, dan ketika berbuka puasa), manakala protein yang mempunyai rendah nilai BV nya haruslah diambil ketika kita kurang aktif, seperti pada sebelah malam, sebelum tidur, ataupun ketika sahur.
Sekiranya kita mengambil protein yang rendah nilai BV nya ketika sedang aktif, kita mungkin tidak akan mendapat bekalan asid amino yang secukupnya. Dan sekiranya kita mengambil protein yang tinggi nilai BV nya ketika tidak aktif, sel kita mungkin mendapat bekalan asid amino yang berlebihan daripada yang sepatutnya. Protein yang diambil secara berlebihan, sama juga seperti karbohidrat, akan ditukarkan kepada lemak badan apabila terjadinya kalori surplus (kalori yang diambil adalah melebihi kalori yang diperlukan badan dalam sehari). Maka dengan itu, amatlah penting untuk kita mengetahui waktu yang sesuai untuk mengambil satu-satu sumber protein.
Berikut adalah contoh BV untuk protein-protein yang mudah didapati di sekeliling kita:

  • Whey Protein Isolate: 159
  • Whey Protein Concentrate: 104
  • Telur: 100
  • Putih Telur (Albumin): 88
  • Susu Lembu: 88
  • Ikan: 83
  • Daging Lembu: 80
  • Ayam: 79
  • Casein Protein: 77
  • Soy Protein: 74
  • Kacang Tanah: 55
  • Kacang Soya: 47

5 Sebab untuk Hidup Sihat

Semua orang mahukan kehidupan yang sihat. Tapi ramai orang yang gagal untuk hidup sihat. Mengapa ini terjadi? Salah satu punca perkara ini terjadi adalah disebabkan kurangnya kesedaran di kalangan kita semua.
Terlalu banyak sebenarnya sebab dan alasan untuk hidup sihat. Dan setiap sebab dan alasan itu adalah bergantung di antara satu sama lain dan tak boleh dipisahkan sedikit pun.

Sebab ke – 5: Mengurangkan tekanan

Hidup yang sihat dan aktif dapat mengurangkan tekanan dan membantu menangani sebarang masalah dengan lebih baik. Tekanan boleh disebabkan oleh banyak faktor, antaranya: kerja di pejabat, makanan, keluarga, rakan-rakan, masalah kewangan, tidak cukup tidur, anak-anak, ibubapa, dan banyak lagi faktor lain. Kehidupan yang sihat adalah salah satu jalan terbaik dalam membantu menangani masalah seharian. Sebagai contoh, selepas bersenam, badan anda akan mengeluarkan endorfin yang akan membuatkan anda berasa lega, gembira dan berpuas hati. Luangkan sekurang-kurangnya 30 minit sehari, ia pasti dapat mengubah hidup anda untuk selama-lamanya. Apabila anda menjalani kehidupan yang sihat, anda akan dapat menjadi seorang yang efisyen dan fokus dalam apa jua perkara yang anda lakukan. Jika anda katakan yang anda tidak mempunyai masa untuk bersenam, apa yang anda telah katakan sebenarnaya mempunyai maksud yang anda lebih rela tertekan dari melakukan senaman.

Sebab ke – 4: Membakar lemak

Kehidupan yang sehat akan membebaskan anda dari diet yang ekstrim atau ‘crash diet’. Lupakan tentang ‘crash diet’. Sebaliknya, buat sedikit perubahan pada corak pengambilan makanan seharian anda dengan niat yang anda ingin mengubah corak pemakanan anda untuk selama-lamanya. Tapi, anda perlu realistik! Makan makan yang seimbang dan sesekali anda boleh makan kegemaran anda. Semuanya bergantung kepada bagaimana anda mengawal diri dan berdisiplin. Kalau anda sedar akan kepentingan hidup sihat, anda boleh makan apa sahaja yang anda mahukan? Mengapa? Kerana hidup sihat merangkumi senaman yang mana akan membakar banyak kalori yang anda ambil semasa anda makan! ;)

Sebab ke – 3: Penambah tenaga

Amalan hidup sihat meningkatkan jumlah maksimum oksigen yang boleh digunakan oleh otot-otot sebanyak hampir 50%! Ini bermaksud bahawa lebih banyak tenaga dan kurang pergantungan terhadap caffein, sekiranya anda seorang heavy coffee drinker. Ini juga bermaksud yang anda perlu minum lebih banyak air yang sangat baik untuk semua sistem badan dan boleh meningkatkan daya ingatan anda.

Sebab ke – 2: Meningkatkan keyakinan diri

Malu kerana badan yang berisi dan gempal? Mulakan bersenam dan anda akan perasan yang badan dan minda anda akan bekerja bersama-sama. Walaupun anda melakukan senaman selama 5 minit setiap hari, pasti anda akan merasa sedikit yakin dalam setiap perkara yang anda buat. Anda juga akan perasan yang perasaan anda yang rendah diri akan diganti oleh satu perasaan yakin diri yang baru! Pada masa itu anda akan tahu yang keyakinan tinggi boleh memberi perubahan yang besar dalam setiap perkara yang anda lakukan.

Sebab pertama: ANDA!

ANDA adalah sebab yang paling penting untuk menjalani kehidupan yang sihat. Jika anda sayangkan diri sendiri (akan mesti sayang diri sendiri!), kehidupan yang sihat adalah jalan yang terbaik untuk menunjukkan sayang anda itu. Ia membuktikan yang badan dan minda anda yang anda boleh melakukannya. Cuba anda tanya rakan-rakan anda yang sudah memulakan cara hidup yang sihat, adakah mereka berasa menyesal? Saya pasti tiada sesiapa yang menyesal! Mungkin anda akan terasa susah pada permulaannya, tetapi selepas 3 hari, anda akan dapat mula membina rasa bersemangat untuk meneruskan apa yang anda telah mulakan dan anda pasti akan rasa teruja untuk melihat hasilnya kepada seluruh hidup anda. Perspektif diri anda juga akan berubah dan anda akan dapat melihat sesuatu itu sebagai peluang yang ada, bukannya sebagai suatu halangan untuk anda melakukan sesuatu. Kehidupan yang sihat pasti akan sentiasa meningkatkan kualiti kehidupan anda!