Mengapa Senaman Penting Untuk Wanita

Senaman penting untuk semua. Lebih-lebih lagi untuk kaum wanita. Mengapa? Kaum wanita melalui pelbagai fasa dan perubahan fizikal dalam kehidupan mereka dari zaman remaja dan bermulanya menstruasi ke fasa kehamilan, menjadi seorang ibu hinggalah ke tahap menopaus. Fuh, pelbagai dugaan dihadapi oleh wanita! Apatah lagi bagi mereka yang juga bertugas sepenuh masa. Di samping bekerja dan menjaga anak-anak dan rumahtangga, bila pula ada masa untuk bersenam dan menjaga kesihatan sendiri?

Berikut adalah 8 sebab mengapa senaman itu begitu penting untuk wanita dan mengapa anda tidak boleh mengabaikannya lagi.

1. Membantu mengurangkan berat badan

Ia adalah azam kebanyakan wanita di kala tahun baru menyapa. Mahu mengurangkan 5, 10 atau 20 kg. Senaman adalah satu aspek yang penting bagi mereka yang mahu mengurangkan berat badan. Sekiranya anda telah memulakan pelan pemakanan yang sihat dan seimbang, senaman akan membantu dan mempercepatkan lagi proses pengurangan berat badan dan pembakaran lemak tersebut. Dengan mengurangkan berat badan, anda akan mempunyai tubuh yang lebih sihat dan mengelakkan pelbagai permasalahan yang mungkin dihadapi sekiranya mempunyai berat badan yang tinggi atau obes.

2. Membina kecergasan dan kekuatan tubuh

Sekiranya anda mudah berasa letih dan berasa lemah untuk mengerjakan aktiviti fizikal tertentu, senaman akan membantu membina kecergasan dan kekuatan tubuh anda. Bayangkan anda dapat mengikuti aktiviti sukan syarikat anda dengan penuh bertenaga atau boleh bermain dan berkejaran dengan anak-anak anda. Bukankah itu lebih baik daripada hanya duduk di tepi sebagai penonton?

3. Menjana tenaga

Anda sudahpun menghadapi hari yang sibuk dan tubuh anda hanya mahu berehat. Tetapi banyak lagi kerja atau perkara lain yang anda perlu siapkan. Bagaimana? Percaya kah anda, senaman yang anda rasakan mungkin lebih meletihkan dan menyambar tenaga anda sebenarnya akan menjana lebih tenaga dan anda akan berasa lebih hidup! Ini adalah kerana senaman itu menghasilkan endorfin dan adrenalin, hormon-hormon yang memberikan tenaga kepada anda. Meskipun begitu, jangan bersenam terlalu lewat pada waktu malam. Anda mungkin terlebih tenaga dan sukar untuk tidur pula.

4. Membantu menjaga kesihatan jantung, mencegah osteoporosis dan barah payudara

Sekiranya anda mempunyai sejarah keluarga di mana ahli keluarga anda menghadapi masalah jantung, osteoporosis atau penyakit barah, mula lah bersenam kerana ia telah terbukti dapat membantu mencegah permasalahan berikut. Osteoporosis dan barah payudara khususnya adalah penyakit yang kritikal kepada wanita. Apa sahaja yang anda dapat lakukan untuk membantu mencegahnya adalah satu langkah yang baik. Statistik menunjukkan yang senaman memang membantu merendahkan risiko penyakit-penyakit ini pada wanita.

5. Sebagai penghilang stress

Dengan seribu satu perkara yang perlu dihadapi dan disiapkan setiap hari, siapa yang tidak akan stress? Bersenam adalah satu outlet yang baik untuk meredakan tekanan yang anda hadapi seharian. Bila anda bersenam, anda mengeluarkan peluh dan mengeluarkan toksin dari badan anda. Senaman seperti kickboxing, seni mempertahankan diri seperti karate dan taekwondo dan senaman aerobik dan menari memang bagus untuk melepaskan stress anda. Malah, ia sebenarnya menyeronokkan!

6. Sebagai aktiviti tambahan untuk diri anda sahaja

Sebagai ibu, isteri dan sekiranya bekerja sepenuh masa, anda akan jarang-jarang mempunyai masa untuk diri sendiri. Keluarga, anak-anak dan tugas pejabat sentiasa didahulukan. Pilihlah satu masa untuk diri anda sahaja iaitu ‘Me Time’. Lebih baik sekiranya anda isi dengan senaman yang menyeronokkan dan membantu menyeimbangkan kesihatan fizikal dan mental anda.

7. Satu contoh yang baik untuk keluarga dan anak-anak anda

Bersenam menetapkan contoh yang baik untuk keluarga dan anak-anak anda agar mereka juga menjaga kesihatan dari usia yang muda. Ramai kanak-kanak atau remaja yang tidak menggemari subjek pendidikan jasmani di sekolah dan anda boleh membantu merubah tanggapan mereka ini. Bersenam sebenarnya boleh menjadi aktiviti mingguan keluarga yang menyeronokkan dan mengukuhkan lagi talian kekeluargaan anda.

8. Anda akan berasa dan kelihatan hebat!

Tentunya salah satu sebab yang paling penting di antara semua! Apabila anda bersenam, anda menjaga kesihatan anda dari segi fizikal dan mental, dalaman dan luaran. Dan ia akan menunjukkan hasil luaran di mana anda akan kelihatan dan berasa hebat sama sekali! Tahap keyakinan anda akan meningkat dan ini mampu merubah tanggapan anda terhadap kehidupan. Dan itu sudah pastinya tidak ternilai.

0 Shares:
2 comments
  1. Kevin..sebagai wanita bekerja dan mempunyai anak..masa utk saya bersenam sgt terhad..dan x selalu x berkesempatan utk bersenam sebab keletihan.boleh tak saya bersenam @ aerobik after 10mlm?

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You May Also Like