Utusan Malaysia: Kevin bawa ayah main golf

Gambar ROSMAYNI JAMALI

Tetapi kini, semakin ramai yang melibatkan diri dengan sukan terbabit. Kita boleh melihat di mana-mana sahaja padang golf akan dipenuhi peminat sukan itu terutamanya pada hujung minggu.

Padang yang menghijau dan suasana aman serta tenang membuatkan hati semakin terpaut untuk menyertai sukan tersebut. Golf memang hebat dan menarik jika ada yang ingin mencuba sukan itu.

Tidak kurang juga, ada yang mengatakan sukan ini sangat membosankan. Namun, bagi selebriti ini, golf adalah satu sukan yang sangat menarik dan sangat indah.

“Jangan kata sesuatu perkara itu bosan sebelum kita mencubanya. Persepsi seperti itu perlu dibuang. Kalau hendak sihat, kita perlu aktif dalam apa sahaja sukan. Tidak kiralah ia bosan ataupun tidak. Cuba dulu.

“Bagi saya, golf adalah satu permainan yang paling susah. Kenapa saya katakan ia susah? Hal ini kerana, semasa bermain golf, kita perlukan konsentrasi terutama untuk memasukkan bola ke dalam lubang yang dituju.

“Pukulan mesti tepat mengenai lubang. Tanpa fokus, mungkin kita akan tersasar. Pukulan sahaja kuat tetapi bola entah ke mana,” gurau Kevin Zahri ketika ditemui S3 di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Gurau senda penasihat kesihatan itu memang mencuit hati. Akui Kevin, bersukan adalah aktiviti utama buat dirinya sejak sekolah lagi.

Tidak hanya bermain golf, Kevin, 35, juga aktif dalam sukan lain seperti tenis, skuasy, futsal, badminton dan pingpong.

“Penglibatan saya dalam sukan memang sudah lama. Saya menyertai sukan terutamanya tenis sejak usia lima tahun lagi. Sejak kecil, saya sangat gembira jika dapat bersukan.

“Mungkin ada orang akan kata sukan golf itu mahal. Tetapi bagi saya, duit tidak menjadi masalah jika kita ingin kekal sihat. Saya tidak pernah mempersoalkan tentang bayaran setiap kali ingin bersukan,” katanya yang selalu bermain tenis dua kali seminggu bersama rakan-rakan.

Bercerita mengenai indahnya sukan golf, Kevin berkata, golf bukan sahaja memberi manfaat kepada fizikal tetapi juga mental.

“Boleh dikatakan, sukan ini memberi faedah yang cukup bermakna. Banyak kalori akan terbakar jika kita bermain golf dalam keadaan cuaca lembap dan panas seperti di Malaysia.

“Ia sama juga seperti kita bersenam di atas treadmill dan melakukan aerobik. Lainnya sukan golf, selain memukul bola, kita juga akan berjalan dari satu lubang ke lubang yang lain. Disebabkan itu, kalori dalam badan kita akan terbakar.

“Dalam masa yang sama juga, kita dapat menikmati suasana sekeliling yang hijau serta tenang. Sukan golf adalah satu riadah yang bagus dan merupakan senaman yang baik untuk kesihatan minda dan fikiran,” jelasnya panjang lebar.

Memang banyak kelainan apabila bermain golf. Bukan sahaja fizikal, tetapi dengan ketenangan dan kedamaian, kita mampu mengurangkan tekanan kerja apabila seharian berada di pejabat.

Bawa ayah bersama

Setiap kali keluar bersukan, yang menariknya, Kevin akan membawa ayahnya sekali.

Kalau dulu, sukan-sukan seperti badminton, futsal, dan tenis mampu dibuat oleh ayah Kevin, tetapi usia yang sudah meningkat menghalangnya untuk melakukan banyak pergerakan.

Tetapi bagi Kevin, dia memilih sukan golf untuk ayahnya kerana berpendapat sukan itu adalah untuk semua orang tidak kira peringkat usia.

“Saya akan menyokong dan memberi semangat kepada ayah untuk bersukan walaupun usia sudah lanjut. Golf adalah antara sukan pilihan kerana tidak memerlukan pergerakan laju seperti bermain badminton mahupun tenis.

“Saya pastikan ayah tidak terlibat dengan sukan lasak tetapi cukup sekadar dapat mengeluarkan peluh memandangkan keadaan dia yang sudah tua,” ujarnya yang turut membawa ayah mertua untuk bersukan sekali.

Menurut Kevin, bersukan juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara dia, ayahnya dan keluarga mertua.

“Sebab itulah, saya pilih bersukan sebagai aktiviti untuk saya meluangkan masa bersama ayah. Pasti ikatan kekeluargaan akan lebih erat,” tambahnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130622/hi_01/Kevin-bawa-ayah-main-golf#ixzz2X1iBgLUZ © Utusan Melayu (M) Bhd

0 Shares:
Leave a Reply

Your email address will not be published.

You May Also Like