Kosmo: Misi Kevin capai #1jutakg

Berikut adalah salinan artikel yang baru diterbitkan dalam suratkhabar Kosmo pada 20 Disember 2015 baru-baru ini. Ia juga boleh dibaca di laman web Kosmo.

“ALI membaca buku. Ali berjalan kaki.”

Barisan ayat itu cuba difahami maksudnya. Agak sukar bagi seorang remaja berdarah Jerman yang berusia 13 tahun untuk mempelajari bahasa asing.

Beliau cuba membelek helaian kamus untuk mencari makna perkataan membaca dan berjalan itu setelah telahannya gagal.

Bagaimanapun, usaha Kevin Zahri Abdul Ghaffar, 38, masih gagal.

“Bagaimana saya mahu belajar bahasa ini jika perkataan yang saya temui tidak ada dalam kamus.

“Buku Tatabahasa Bahasa Melayu yang saya pegang berterbangan ke dinding kerana geram,” cerita Kevin Zahri yang lebih mesra disapa sebagai Kevin itu mengimbau memori silam ketika mula-mula belajar bahasa Melayu.

Dilahirkan pada 12 Disember 1977 dan dibesarkan di Jerman selama 13 tahun, Kevin mempelajari bahasa Melayu buat pertama kalinya tatkala berpindah ke Malaysia pada awal 1990-an.

Kevin berdarah kacukan Jerman menerusi ibunya, Anita Schwerin manakala bapa, Abdul Ghaffar Zahri warga Malaysia. Situasi itu menyebabkan anak bongsu daripada dua adik-beradik tersebut fasih berbahasa Melayu selain mahir bertutur dalam bahasa Jerman dan Inggeris.

Lebih signifikan dengan gelaran Cikgu Kecergasan, pengasas kepada program Jom Kurus 1Malaysia (JK1M) itu berkata, dia hanya menemui maksud perkataan-perkataan tersebut setelah mengikuti tuisyen di rumah dan diperkenalkan tentang konsep imbuhan.

Mengikuti persekolahan di pelbagai sekolah menengah di negara ini, dia mempunyai banyak pengalaman menarik dan pencapaian tersendiri ketika belajar.

Suami kepada Rio Elany Rio Kamal Yuhya yang mengakui rindukan zaman kanak-kanaknya di Jerman sebelum era digital itu memberitahu, pengalaman membesar di negara ini sangat berbeza dan mencabar khususnya ketika belum fasih berbahasa kebangsaan.

Detik bermakna

“Pelajar-pelajar di sini difokuskan kepada aspek disiplin dan prestasi pelajaran. Saya dihantar ke sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Seri Perak, Teluk Intan, Perak untuk menghayati kehidupan yang lebih susah.

“Di sana, ramai pelajar yang datang dari keluarga susah tetapi mereka fokus kepada pendidikan agama. Pengalaman menuntut di sana akhirnya membawa detik sangat bermakna kerana menimbulkan kesedaran serta rasa rendah diri selain membentuk perwatakan saya,” ujarnya.

Beliau kemudiannya menyambung pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pengkalan Chepa, Kelantan ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berkat usaha gigih, Kevin dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM di sekolahnya dan terpilih menerima pelbagai biasiswa untuk melanjutkan pengajian.

Bapa kepada Rafael Zahri dan Rio Mikaela itu kemudiannya memilih tajaan daripada Proton untuk menyambung pengajian di Amerika Syarikat (AS) dan bergraduasi pada tahun 2002 dengan dua ijazah kepujian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan Ekonomi.

Meskipun bergraduasi dalam kedua-dua bidang itu, Kevin yang pernah bekerja di Proton selama lima tahun mula fokus dalam bidang kecergasan dan pemakanan.

Kevin yang gemar bersukan dan meminati rekaan web dan fotografi berkata, meminati bidang kecergasan dan mahu setanding dengan atlet AS ketika belajar di sana mendorong dia mengambil inisiatif sendiri untuk mendapatkan kelulusan serta pengiktirafan dalam lapangan tersebut.

Kursus sampingan itu benar-benar mengubah kehidupan Kevin meskipun pada awalnya ia sekadar minat dan tidak terdetik untuk dijadikan karier.

Menjadikan arwah abang, arwah ibu, bapa, isteri dan anak-anak sebagai inspirasi, Kevin memulakan JK1M pada tahun lalu dengan misi untuk mengurangkan kadar obesiti di Malaysia yang kini mempunyai pengaruh tersendiri.

Begitupun popular dengan program menguruskan badan dan gaya hidup sihat, siapa sangka Kevin merupakan penggemar coklat.

“Boleh dikatakan setiap hari saya akan memakan coklat. Namun, dengan kuantiti yang sedikit. Saya bukan mengamalkan gaya hidup sihat yang sempurna tapi lebih kepada keseimbangan seperti yang selalu diterapkan dalam JK1M.

“Ada masanya pilihan makanan itu sihat dan ada masanya tidak, namun pengambilannya biarlah seimbang,” terangnya.

Bakal memasuki siri keenam pada awal tahun depan, program berbentuk cabaran selama enam minggu itu disertai lebih 10,000 peserta.

Masa berkualiti

Malah, ia turut merentas sempadan Singapura, Brunei dan bakal ke Indonesia pada tahun hadapan.

“Sejak ia diperkenalkan, kira-kira 50,000 kilogram berat keseluruhan peserta dapat dikurangkan. Saya juga mempunyai projek komuniti #1jutakg yang turut melibatkan orang awam untuk menyumbang penurunan kilogram meskipun bukan peserta JK1M.

“Saya percaya misi #1jutakg akan dicapai. Insya-Allah. Siapa tahu program ini juga bakal menjelajah serata dunia,” ujarnya yang bakal berehat selama setahun daripada sebarang program untuk memberi fokus kepada keluarga pada tahun hadapan.

Mengulas tentang perkara itu, Kevin mahu meluangkan masa yang berkualiti buat dua cahaya matanya yang disifatkan begitu cepat membesar.

JK1M yang masih diteruskan dan akan dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih serta ikon-ikon JK1M.

“Saya berazam untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak dan keluarga pada tahun hadapan.

“Saya mahu meneroka dunia bersama mereka. JK1M mungkin boleh digantikan dengan orang lain untuk diteruskan. Namun, tiada pengganti ayah kepada anak-anak saya selain diri saya sendiri.

“Duit boleh datang dan pergi, namun kita tidak boleh membeli masa,” kongsinya penuh mendalam sambil memberitahu ia juga sebagai kesedaran bahawa waktu bersama anak-anak kecil sangat terhad.

Kevin berkata, beliau merindui zaman kanak-kanak dan terkilan kerana tidak dapat berjumpa arwah ibunya selama 10 tahun sebelum wanita itu sakit tenat dan meninggal 13 tahun lalu.

Dalam pada itu, video Kevin khatam al-Quran menjadi viral baru-baru ini selepas dimuat naik di laman sosial miliknya, sekali gus memberi satu persepsi positif buat masyarakat yang mahu berubah dan merealisasikan azam meskipun sukar.

Tidak berasa malu meskipun khatam al-Quran ketika berusia 37 tahun, pengajian selama empat tahun berhasil, sekali gus berjaya memenuhi salah satu azam pada tahun ini untuk khatam al-Quran.

Beliau bersyukur dengan kejayaan itu dan mahu mendalami lagi kitab ulung itu.

Tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk mahupun berbangga dengan pencapaian itu, lelaki setaraf selebriti tersebut mengakui, dia bukan seorang yang gemar menghadiri mana-mana majlis dan sangat mementingkan privasi selain menolak sifat angkuh dan megah.

[one_whole boxed=”true”]

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1221&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_02.htm#ixzz3vhJi0Dvl
Hakcipta terpelihara.[/one_whole]