Panduan Langsing Selepas Bersalin

Posted by | February 20, 2012 | Health & Fitness | 2 Comments
langsing-selepas-bersalin

Tahniah! Anda telah melahirkan cahaya mata dengan selamat dan melalui tempoh berpantang dengan seeloknya. Anda mungkin telahpun kembali bekerja sepenuh masa dan kini telah dapat menyesuaikan diri dengan ritma kehidupan baru bersama si manja anda. Dan mungkin juga anda telah mula berfikir, ‘Macam mana untuk mendapatkan kembali tubuh yang langsing dan cergas seperti sebelum mengandung dahulu?’

Macam mana untuk mendapatkan kembali tubuh yang langsing dan cergas seperti sebelum mengandung dahulu?

Anda tidak keseorangan. Persoalan ini bermain di fikiran kebanyakan wanita yang telah melalui fasa kehamilan dan melahirkan anak. Pelbagai perubahan fizikal dan emosi dilalui di dalam tempoh tersebut. Salah satu daripadanya adalah penambahan berat badan disebabkan kehamilan. Kebanyakan wanita akan mengalami purata kenaikan berat badan sebanyak 15-20 kg semasa mengandung.

Isteri saya sendiri pun naik berat sebanyak 18kg semasa menghamilkan anak kami – Rafael Zahri

Kurangkan berat badan selepas bersalin?

Selepas melahirkan anak, anda akan terus kehilangan lebih kurang 6 kg. Selepas itu, anda akan kehilangan berat air dan apabila rahim telah kembali ke saiz asalnya, anda mungkin kehilangan sebanyak 2 atau 3 kg lagi. Sekiranya anda menyusukan bayi, ini membantu mengurangkan lagi berat badan kerana penghasilan susu badan menggunakan simpanan lemak di dalam tubuh dan mampu membakar lebih banyak tenaga.

Harus diingatkan bahawa kenaikan berat badan semasa mengandung berlaku sepanjang tempoh 9 atau 10 bulan. Maka, untuk mengurangkan kembali berat tersebut dan mengembalikan tahap kecergasan anda juga memerlukan masa. Di bulan-bulan awal selepas kelahiran bayi anda, anda tidak seharusnya berdiet kerana tubuh anda memerlukan tenaga serta nutrien yang lebih untuk memenuhi keperluan anda dan juga bayi anda. Anda juga pasti akan kesuntukan atau sukar untuk mencari masa untuk bersenam kerana masih menyesuaikan diri dengan rutin baru sebagai seorang ibu.

Anda boleh menetapkan tempoh 6 bulan untuk membenarkan tubuh anda kembali ke bentuk asal

Anda boleh menetapkan tempoh 6 bulan untuk membenarkan tubuh anda kembali ke bentuk asal secara semula jadi sebelum anda membuat langkah untuk mengikuti pelan pemakanan yang terkawal atau rejim senaman yang terancang.

Terdapat pelbagai petua dan kaedah yang mungkin anda pernah dengar tentang bagaimana mengembalikan tubuh yang langsing dan cergas selepas bersalin. Di antaranya mungkin adalah berkenaan pemakaian bengkung, berurut secara tradisional, petua jangan meminum air sejuk dan sebagainya. Apa yang pasti, bersenam dan pemakanan seimbang merupakan komponen yang penting dalam mengembalikan kecergasan tubuh selepas bersalin.

Panduan Senaman Kegel

Mulakan rutin senaman yang ringkas dan ringan. Senaman yang paling mudah dimulakan adalah yang boleh dibuat sendiri di rumah. Tahukah anda bahawa anda boleh memulakan senaman kegel sehari selepas bersalin? Kegel penting untuk mengetatkan kembali otot lantai pelvik selepas bersalin. Ia dilakukan dengan mengetatkan otot yang digunakan semasa membuang air kecil. Senaman ini mudah kerana boleh dilakukan di mana-mana tanpa sesiapa mengetahuinya. Ia juga boleh dilakukan sekali bersama pelvic tilts, yang juga berfungsi untuk mengempiskan perut dan mengerjakan otot punggung.

Mula dengan berjalan

Senaman yang paling mudah untuk dilakukan adalah berjalan. Ia boleh dilakukan bersama seisi keluarga dan juga bersama bayi anda sekali. Anda boleh berjalan di taman, di sekitar kawasan perumahan anda malah juga di pusat membeli belah! Bayi boleh digendong atau ditolak di dalam stroller. Ini akan menambahkan lagi intensiti senaman anda.

Panduan Video Post Natal

Sekiranya anda telah bersedia untuk pergi selangkah lagi dan mahu melakukan senaman secara terancang, anda boleh membeli video senaman yang boleh dibuat di rumah, menjadi ahli di gimnasium atau pusat kecergasan atau mencari pelatih peribadi yang mengkhusus dalam senaman postnatal. Anda juga boleh mengikuti kelas senaman regangan seperti yoga atau pilates dan senaman aerobik atau menari. Setidak-tidaknya, bersenam akan membantu menghilangkan stress dan seronok untuk dilakukan!

Terdapat pelbagai pilihan senaman untuk anda mengembalikan kecergasan selepas bersalin. Ianya bergantung kepada minat dan juga faktor seperti masa dan tempat yang sesuai bagi anda.

Diingatkan juga, sekiranya anda mengalami sebarang komplikasi semasa mengandung dan bersalin, dapatkan pengesahan doktor dahulu sebelum anda memulakan apa-apa rejim senaman.

About Kevin Zahri

I am a US certified personal trainer and nutritionist with over 10 years experience. Over the years, I have published over 10 books, written for Men's Health, other fitness and lifestyle magazines, hosted TV shows and appeared on various TV shows, programs and magazines. I am also an avid corporate wellness speaker and web entrepreneur. More about me here or follow me on Facebook or Twitter.

  • jz

    slps bsalin,berat 64kg.hr t’akhir kehamilan,berat sy 72kg.skrg,anak sy berusia 4bln dan menyusu bdn sepenuhnya.sjk mengamalkan noriday,brt bdn makin naik menjadi 67kg dgn ketinggian 148.selera mkn mcm biasa spt sblm mgandung.sy mmg risau dgn kenaikn ini tmbh plk,sy seorang yg bekerja.apa yg patut sy lakukan?

  • http://www.facebook.com/anne.goldah Anne Goldah

    Hi Kevin, today is my 1 month after delivered my son.. i felt good & healthy.. can I go to any Zumba or Aerobic class?