fbpx

“Menggoreng” menjatuhkan nilai nutrisi sesuatu makanan

Tidak dinafikan kita terdedah dengan pelbagai jenis makanan yang mewakili semua peringkat kaum di negara kita. Tetapi berapa peratuskah makanan-makanan ini yang tidak melibatkan kaedah menggoreng dalam cara penyediannya? Sebut sahaja apa yang anda tahu, daripada seberat-berat makanan seperti nasi goreng, char kuey teow, hinggalah sekecil-kecil makanan seperti pisang goreng dan vaadeh. Semuanya harus digoreng. Goreng, goreng dan goreng! Seolah-olah sudah ketandusan idea akan cara memasak, sehinggakan cendawan yang enak dibuat sup itu juga perlu digoreng. Kreatif!

contoh goreng

Mungkin anda tidak berapa nampak akan situasi ini kerana sering ‘dimanjakan’ atau sudah terbiasa dengan keadaan. Namun cubalah seketika berkunjung ke mana-mana pasar malam yang terletak berhampiran dengan tempat tinggal anda. Turuti satu persatu gerai-gerai makanan yang terdapat di sana, kemudian beritahu saya, berapa banyakkah gerai-gerai makanan yang menyediakan makanan bergoreng?

Dewasa ini kerajaan Malaysia sibuk berbicara berkenaan isu obesiti, namun saya agak pelik juga, mengapa tiada langsung kempen akan cara penyediaan makanan yang sihat dimainkan di kaca-kaca tv, di corong-corong radio, mahupun di dada-dada akhbar? Seolah-olah isu ini isu picisan, cara penyediaan makanan ini isu picisan. Apa yang mereka tahu hanyalah melaungkan slogan “amalkan gaya hidup sihat”, tetapi pernahkah slogan ini diperhalusi? apakah maksud gaya hidup sihat itu sebenarnya? Adakah senaman 20 minit setiap sesi, 3 kali seminggu itu memadai? Tidak.

Dengan menggoreng sesuatu makanan, kita sebenarnya bukan sahaja telah menambah “kesedapan” sesuatu makanan, tetapi kita telah menjatuhkan nilai nutrisi makanan tersebut, atau dalam erti kata mudah, kita sebenarnya sudah menukarkan sesuatu makanan yang sihat kepada tidak sihat. Kejatuhan nilai nutrisi ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana

  1. 1

    Nilai kalori makanan tersebut akan bertambah, dan pertambahan kalori makanan tersebut semestinya datang daripada minyak goreng. Tahukah anda, dengan menggoreng sebiji telur sahaja, anda sudah meningkatkan kalori asal telur tersebut (asalnya sekitar 70kcal) sebanyak hampir 50%?

  2. 2

    Menggoreng sesuatu makanan adalah bersamaan dengan ‘membunuh’ nutrien-nutrien surih yang terdapat dalam makanan tersebut. Ini kerana, takat didih minyak yang sangat tinggi (lebih tinggi daripada takat didih air) pastinya memberi jumlah tenaga haba yang tinggi yang semestinya mampu menukar sifat-sifat nutrien yang terdapat dalam makanan tersebut. Oleh itu, jangan sesekali fikir cendawan goreng yang anda makan itu masih berkhasiat.

  3. 3

    Ini belum diambil kira lagi jika minyak goreng yang digunakan itu telah pun diguna pakai lebih dari 2 kali, sehinggakan bila melihat warna minyak itu sahaja kita sudah mula berasa geli. Minyak yang sudah diguna pakai banyak kali ini mengandungi radikal-radikal bebas yang bersifat carcinogenic – yakni ejen-ejen yang bertanggungjawab untuk pembentukan kanser.

Selepas membaca entri ini, adakah anda masih mahu menggoreng makanan anda setiap hari, atau mempelbagaikan lagi cara memasak? Masih lagi mahu membeli makanan daripada peniaga yang hanya tahu “menggoreng” sahaja? Anda mahu terus kekal sihat atau sebaliknya? Tepuk dada, tanyalah hati.

Selepas membaca entri ini, adakah anda masih mahu menggoreng makanan anda setiap hari, atau mempelbagaikan lagi cara memasak?

Privacy Preference Center