fbpx

Benarkah semua lemak jahat?

Badan anda menyimpan 80% lemak dari makanan yang anda ambil. Sekiranya anda kekal aktif, anda akan dapat membakar kebanyakan lemak yang tersimpan ini setelah ditukarkan dalam bentuk tenaga. Jika tidak, mulalah anda dapat lihat baju yang anda pakai ketat di sana sini dan lemak berlebihan juga boleh membahayakan kesihatan anda.

Tapi, benarkan semua lemak itu JAHAT?

Kira-kira 20% daripada lemak di dalam makanan yang tidak disimpan. Ini kerana ia digunakan sebagai tenaga semasa anda melakukan kerja.  Tisu-tisu dan proses biologi di dalam badan memerlukan sejumlah lemak di dalam diet harian anda. Tanpa lemak sebagai contoh, rambut dan kulit anda akan kelihatan kering dan kusam. Dan yang paling penting lemak yang diperlukan ini akan membantu badan anda menyerap vitamin larut lemak,A, D, E, dan vitamin K. Setiap sel di dalam badan juga memerlukan lemak untuk membina membran sel yang sihat. Lemak ini juga membantu menghasilkan bahan kimia dalam badan yang mengawal tekanan darah dan membantu tindakbalas badan terhadap kecederaan atau sebarang jangkitan.
Namun, perlu diingat, lemak tepu berlebihan dari makanan yang anda ambil seperti daging, marjerin, dan keju berlebihan merupakan sebab utama penyakit jantung dan masalah diabetes. Walaubagaimanapun, membuang semua lemak di dalam diet harian anda bukanlah sesuatu yang bijak kerana pengambilan sesetengah lemak yang ‘baik’ sebenarnya dapat membantu melawan penyakit. Banyak saintis dan pakar nutrisi berpendapat bahawa lemak tak tepu, iaitu lemak yang ‘baik’ membantu mengelakkan dari diabetes, tekanan perasaan, mambantu melawan kanser, sakit sendi, dan masalah jantung.
Menggantikan tenaga dari lemak tepu dengan tenaga dari lemak tak tepu adalah lebih baik daripada anda menggantikannya dengan tenaga dari pengambilan karbohidrat. Kajian menunjukkan menggantikan lemak tepu dengan makanan proses, kaya karbohidrat seperti nasi dan pasta di dalam makanan harian anda akan hanya memberikan kesan yang sedikit pada pengurangan risiko masalah jantung. Penyelidik di Amerika Syarikat mengkaji diet harian bagi 80,000 jururawat selama 14 tahun dan mendapati bahawa menggantikan hanya 5% tenaga dari lemak tepu dengan lemak tak tepu dalam jumlah yang sama dapat mengurangkan risiko masalah jantung sebanyak 42%.

Ini bukan sahaja memberi kesan yang baik kepada jantung. Lemak juga boleh melawan banyak penyakit yang lain.

Minyak Zaiton: Lemak Baik?

Kepada yang sedang menurunkan berat badan, anda pasti sedar yang badan anda sangat mudah membina lemak di mana tempat yang selalu terkumpulnya lemak adalah di peha, punggung, dan keliling pinggang anda. Ini adalah kerana walaupun anda mengamalkan diet tanpa lemak, gula yang anda ambil akan bertukar kepada lemak.
Badan anda tidak boleh membina beberapa jenis asid lemak yang diperlukan untuk kesihatan. Itulah sebabnya, diet harian anda haruslah termasuk asid lemak yang punca utamanya adalah dari ikan dan minyak sayuran.  Anda boleh untuk tidak mengambil langsung lemak tak tepu ini dalam makanan anda, tetapi ada kajian yang mendapati mereka yang tidak mengambil lemak langsung dalam diet seharian mungkin tidak dapat hidup lama dengan lebih sihat berbanding mereka yang mengambil lemak tak tepu yang diperlukan dalam diet harian mereka.

Sebagai contoh, minyak zaitun merupakan salah satu sumber lemak tak tepu. Oleh sebab itu penggunaan minyak zaitun dalam makanan adalah sangat digalakkan. Selepas kajian dibuat, mereka yang makan makanan yang dimasak menggunakan minyak zaitun adalah empat kali lebih rendah risiko mengalami masalah serangan jantung daripada mereka yang mengamalkan makanan rendah lemak dalam diet mereka.

…makanan yang dimasak menggunakan minyak zaitun adalah empat kali lebih rendah risiko mengalami masalah serangan jantung…

Selain minyak zaitun, kekacang juga adalah tinggi kandungan lemak tak tepu.  Minyak ikan pula adalah sumber terbaik untuk EPA dan DHA – 2 jenis asid lemak Omega-3 yang mempunyai banyak kebaikan untuk badan. Makan makanan laut terutamanya ikan adalah pilihan terbaik untuk mendapatkan asid lemak Omega-3 ini. Ini kerana semua hidupan laut mengandungi asid lemak Omega-3 yang tinggi untuk melindungi ia dari suhu air yang sejuk. Antara ikan yang paling tinggi mengandungi Omega-3 adalah ikan sardin dan salmon. Sekiranya anda seorang yang tidak makan ikan, anda boleh mengambil kapsul minyak ikan. Apapun, anda perlu berbincang dengan doktor tentang dos dan keperluannya.
Untuk pengetahuan anda, semua lemak dan minyak mengandungi campuran lemak tepu dan lemak tak tepu. Jadi anda perlu tahu kandungan lemak ini di dalam makanan anda. Sebagai contoh, terdapat 62% lemak tepu terdapat dalam marjerin, manakala 29% adalah lemak tak tepu. Bagi minyak zaitun pula, hanya 14% lemak tepu dan 82% lemak tak tepu. Jadi, anda sudah tahu mana yang lebih baik, bukan?
Jadi, adakah anda mendapat lemak yang cukup dalam diet harian? Banyak kajian yang telah dibuat mendapati bahawa lemak tak tepu ini mempunyai fungsi yang penting dalam diet seharian. Lemak jenis ini dapat memberikan banyak kebaikan untuk sistem kardiovaskular seperti membantu melawan banyak jenis serangan penyakit. Bagaimanapun, anda perlu MODERATE dalam mengambil apa jenis makanan pun. Jangan pula terlalu obses sehingga ia boleh memudaratkan diri anda. Tahu keperluan badan anda, itu yang paling penting.

Privacy Preference Center