fbpx

5 Tips Diet Hari Raya

Aidilfitri bakal sudah menjelang setelah beberapa hari. Selepas sebulan menahan lapar dan dahaga serta kurangnya aktiviti fizikal yang dibuat, gaya hidup seharian mungkin akan mengalami sedikit perubahan. Antaranya, kecenderungan untuk makan makanan berat yang tinggi. Makanan dan minuman yang diambil semasa hari raya kebiasaannya mengandungi kandungan lemak, gula, dan kalori yang tinggi.

Seseorang mungkin mengambil jumlah makanan yang berkalori tinggi tanpa mereka sedari. Ini boleh menyebabkan seseorang itu mengalami penambahan berat badan lebih kurang 2-3 kg semasa hari raya. Kalori berlebihan bukan sahaja membuatkan ukur lilit pinggang anda bertambah, ia juga boleh menjadi punca kepada masalah yang lain seperti gastrik dan makanan sukar dihadam. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk seperti penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Di bawah dikongsikan beberapa tips yang boleh membantu anda untuk kekal sihat semasa hari raya Aidilfitri:

1.  Kebiasaannya pelbagai jenis makanan yang dihidangkan semasa hari raya Aidilfitri seperti rendang, ketupat, rendah, dan 1001 macam jenis kuih raya. Anda dinasihatkan mengawal nafsu semasa melihat makanan yang terhidang. Cuba ambil masa beberapa saat untuk melihat semua makanan sebelum membuat keputusan untuk memilih makanan yang anda ingin makan. Dengan cara ini, boleh membantu anda untuk mengambil jumlah setiap makanan yang anda inginkan secara terkawal. Seterusnya, dengan makan makanan dalam jumlah yang sederhana dan terkawal, ia akan memberi peluang kepada system penghadaman badan anda untuk terus berfungsi dengan baik sepanjang Aidilfitri nanti.

Ingin tahu jumlah kalori makanan hari raya? Rujuk di Cekodok.com

2.  Dalam keghairahan untuk mencuba semua jenis hidangan hari raya yang tersedia, anda dinasihatkan untuk tidak lupa minum air dengan cukup dan mengambil makanan yang kaya dengan fiber. Ini adalah untuk mengelakkan anda mengalami masalah sembelit semasa hari raya. Tentu tidak seronok, bukan? Orang lain bergembira bertemu sanak saudara di hari raya, tetapi anda ter’perangkap’ di dalam tandas sepanjang hari.

3.  Semua pun sedia maklum, hidangan di hari raya ini kebanyakannya terdiri dari makanan yang manis, berlemak, dan tidak kurang juga mengandungi kandungan garam yang tinggi. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan makanan seperti ini. Selain itu, tidak kurang juga hidangan minuman bikarbonat seperti coca-cola merupakan minuman yang popular di hari raya. Anda perlu ingat, kandungan gula dan kafein di dalam air bikarbonat adalah sangat tinggi. Oleh itu, tidak salah jika anda minum setengah gelas air coca-cola, dan kemudian segelas air kosong sekiranya anda masih berasa dahaga. Makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula, lemak, garam, dan kafein boleh menyebabkan masalah seperti makanan tidak hadam dan sembelit.

4.  Pengambilan beberapa biji kurma sebelum sembahyang raya adalah sangat digalakkan. Kemudian, anda dicadangkan makan makanan seperi roti gandum penuh, susu rendah lemak, dan sepotong buah-buahan sebagai sarapan ringan sebelum anda menjamah ketupat dan rendang.

5.  Untuk makan tengahari dan makan malam, saya pasti kebanyakan dari kita yang mungkin sudah terlalu kenyang dengan ketupat dan lemang serta hidangan hari raya yang lain. Namun, sekiranya anda berjaya mengawal pemakanan anda pada hari tersebut, anda bolehlah menambah pengambilan sayur-sayuran, dan buah-buahan segar. Ini kerana saya dapati pada hari raya amat sukar sekali kita lihat makanan yang tersedia yang boleh dihidang bersama sayur-sayuran dan buah-buahan. Sayur-sayuran dan buah-buahan ini sangat penting untuk membantu penghadaman makanan yang anda ambil sepanjang hari tersebut.

Diharap panduan yang dikongsikan sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk mengawal pengambilan makanan di hari raya nanti. Suka saya ingatkan, tubuh badan kita ini bukan untuk kita pakai sehari dua, tetapi sepanjang hidup kita!

Akhir kata, SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!
Maaf zahir & batin.

Privacy Preference Center