- Home
- News & Events
- Utusan Malaysia: Jom Kurus 1Malaysia
Utusan Malaysia: Jom Kurus 1Malaysia
STATISTIK obesiti yang dilihat semakin hari semakin bertambah membuatkan pihak-pihak tertentu begitu prihatin dan ingin menghulurkan bantuan dalam usaha mengurangkan jumlah tersebut.
Angka tersebut semakin bertambah kerana amalan gaya hidup tidak sihat yang diamalkan oleh semua lapisan masyarakat hari ini.
Begitupun hari ini mereka yang mengalami obesiti dilihat bersemangat untuk menurunkan berat badan masing-masing tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut.
Apa yang mampu dilakukan hanya satu iaitu mengamalkan diet serta senaman tetapi tidak semua yang melakukannya berjaya mengatasi masalah berat badan malah kadang kala tiada perubahan yang berlaku.
Hal ini sebenarnya turut diakui oleh selebriti dan jurulatih kecergasan terkenal, Kevin Zahri.
Menurutnya, soal makanan bukanlah satu masalah besar kepada mereka yang mengalami obesiti ataupun masalah berat badan berlebihan, sebaliknya yang menjadi fokus ialah kuantiti makanan yang diambil dalam setiap hidangan.
Jelas beliau, ramai menyangka dengan tidak makan nasi mereka mampu mengurangkan berat badan. Tetapi hakikatnya nasi yang digantikan dengan makanan lain adalah sama sekiranya kuantiti yang diambil adalah sama.
Jadi katanya, dalam proses diet, kuantiti serta jumlah kalori yang diambil dalam setiap hidangan merupakan elemen penting bagi mereka yang ingin mengurangkanberat badan.
“Jadi kepada sesiapa sahaja yang ingin mengurangkan berat badan dan mendapatkan berat badan yang ideal, mereka seharusnya tahu apa yang diambil dalam setiap hidangan dan bukannya dengan tidak mengambil nasi.
“Apa yang perlu dilakukan golongan ini (obesiti) sebelum memulakan program diet ialah ilmu, panduan serta pendidikan yang betul mengenai diet,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media mengenai Jelajah FWC NutriXprezz bersama Program Jom Kurus 1Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.
Berbicara mengenai Program Jom Kurus 1Malaysia tersebut, Kevin menjelaskan ia adalah kesinambungan daripada program Jom Kurus yang dianjurkan pihaknya pada tahun lalu.
Program tersebut yang membantu orang ramai mengurangkan berat badan dengan memberi penekanan dalam mendidik mereka mengenai senaman dan pelan pemakanan yang betul, serta mengamalkan gaya hidup sihat, mendapat sambutan di luar dugaan.
Melihat daripada maklum balas serta permintaan yang menggalakkan, Kevin memberitahu ia diteruskan lagi pada tahun ini.
Program tersebut yang akan berlangsung selama enam minggu di seluruh negara, menawarkan ganjaran wang tunai lumayan buat peserta lelaki dan perempuan yang berjaya daripada setiap pasukan yang bertanding.
- Setiap pasukan akan mewakili sebuah kawasan dan lebih 60 daerah telah di kenal pasti dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
- Setiap pasukan terdiri daripada 40 orang peserta dan akan diketuai oleh jurulatih-jurulatih kecergasan berkelayakan yang dipilih khas oleh Kevin sendiri.
- Seorang juara keseluruhan akan dinobatkan pada akhir cabaran ini.
“Saya sedar perkara paling berharga dalam program ini bukan sekadar motivasi dan sokongan sahaja, malah persahabatan dan hubungan yang terbina di antara para peserta boleh menggalakkan mereka mencapai matlamat kecergasan yang diingini.
“Walaupun begitu para peserta juga dinasihatkan agar tidak bergantung kepada jurulatih ataupun sebarang produk untuk kurus tetapi ia sebenarnya lebih kepada diri sendiri.
“Melalui program ini, sekurang-kurangnya golongan obesiti tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya lagi.
Sehingga 6 Januari lalu, lebih daripada 1,000 rakyat Malaysia telah mendaftar untuk program ini.
Jadi kepada mereka yang inginkan maklumat lanjut mengenai program ini bolehlah lawati laman sesawang www.kevinzahri.com/jomkurus/1malaysia.
© Utusan Melayu (M) Bhd