Shafizan Sapie Kurangkan 32kg Untuk Lebih Sihat Dan Cergas

  • Nama: Mohd Shafizan Bin Sapie
  • Umur: 34 tahun
  • Tinggi: 1.65m
  • Berat Asal: 92kg
  • Berat Kini: 60kg
  • Facebook: shafizansapie
  • Target: Untuk hidup lebih sihat dan cergas

Nak kurang berat?

Salam perkenalan semua. Saya Shafizan. Sejak kecil saya merupakan kanak-kanak yang aktif seperti yang lain. Saya seorang yang suka makan dan tidak pernah mengawal pola pemakanan saya. Bak kata orang dulu-dulu, tolak batu kayu aje..kkkkk. Setelah habis SPM, saya mula gemar makan lewat malam terutama ketika menuntut di universiti. Standardlah, time tu, gerai/kedai yang murah dan dapat banyak kuantitinya, gerai/kedai tu lah yang akan saya cari. Mungkin kerana saya masih muda dan aktif bersukan (tinggi metabolisma agaknya), saya masih kekal kurus.

Menjadi raja sehari, Februari 2005. Berat 65kg
Menjadi raja sehari, Februari 2005. Berat 65kg

Menjadi raja sehari, Februari 2005

Saya kemudiannya telah berkahwin pada tahun 2005. Ketika itu, berat badan saya masih 65kg. Hanya selepas tiga bulan berikutnya, berat badan saya naik 10kg. Pada mulanya, saya agak tersentak tetapi sikap malas semakin menguasai diri. Saya semakin pasif dalam bersukan dan bersenam. Ditambah selera makan yang tidak pernah pudar dan kesibukan kerja, membuatkan saya semakin lalai dan tidak mengambil berat dalam penjagaan kesihatan diri. Berat badan saya semakin meningkat dari hari ke hari.

Berat 92kg. Bercuti bersama keluarga di Langkawi, Januari 2012.
Berat 92kg. Bercuti bersama keluarga di Langkawi, Januari 2012.

Sekitar Januari 2012, berat badan saya telah mencecah 92 kg dengan ukuran pinggang 38 inci. Dengan BMI 33.79, saya sah tergolong dalam Obesiti Tahap 1. Memang saya akui bahawa saya telah tua sebelum usia. Ada jugak pernah terfikir untuk kuruskan badan. Masih ingat lagi ketika menonton rancangan ‘The Biggest Loser’. Terdetik dalam hati, “alangkah bestnya kalau aku dapat turunkan berat badan macam tu”. Mana mungkin hanya berharap tanpa sebarang usaha yang dibuat. Harapan hanya tinggal harapan. Memang sedih apabila diperli oleh rakan-rakan. Apa yang mampu dilakukan, hanyalah senyum dalam terpaksa, pasrah dan cuba memberi jawapan yang lucu. Sudah sinonim, orang yang gemuk dianggap pelawak dan kelakar. Saya tidak pernah serius untuk kuruskan badan, apatah lagi untuk mengubah cara hidup yang lebih sihat.

Saat pertama kali menjejakkan kaki di bumi sonata, Februari 2012.
Saat pertama kali menjejakkan kaki di bumi sonata, Februari 2012.

Korea Selatan Februari 2012

Pada bulan Februari 2012, saya mendapat tawaran menyambung pelajaran di Seoul, Korea Selatan selama 10 bulan. Walaupun berat hati untuk meninggalkan keluarga, namun saya gagahi jua demi mengejar cita-cita dan impian masa depan yang lebih sempurna. Setibanya di sana, kami dikehendaki menjalani rawatan pemeriksaan perubatan. Keputusan yang diperolehi amatlah memeranjatkan. Di antara masalah yang saya hadapi ialah ‘fatty liver’, tinggi kandungan gula, tinggi tekanan darah dan tinggi asid urik. Saya mula berfikir, mengapa saya jadi begini. Ketika ini mula timbul perasaan untuk berubah. Saya mula mencari maklumat dan ilmu pengetahuan berkaitan cara hidup yang sihat di internet. Sehinggalah saya membaca blog Kevin Zahri di website. Saya dapati maklumat dan teknik yang dicadangkan amat berguna dan praktikal. Saya amat tertarik dengan pendekatan calorie in vs. calorie out yang digunakan. Di samping itu, maklumat berkaitan BMR, DCR dan BMI mula saya fahami dan ikuti (sila daparkan keterangan lanjut dalam eBook Panduan Kurang 5kg 5 Minggu) Di samping itu, maklumat berkaitan kandungan kalori di cekodok.com juga banyak membantu saya memilih makanan yang sesuai untuk diet yang seimbang.

…saya amat tertarik dengan pendekatan calorie in vs. calorie out yang digunakan. Di samping itu, maklumat berkaitan BMR, DCR dan BMI mula saya fahami dan ikuti …

Sepanjang tempoh 10 bulan saya di sana, saya cuba mengamalkan cara hidup yang sihat. Saya mula kembali aktif bersukan/bersenam dan makan dengan diet yang betul. Iyalah, semasa di sana, saya terpaksa berjalan kaki dan menggunakan pengangkutan awam untuk kemana-mana. Barulah saya tahu, mengapa orang Korea Selatan tidak menghadapi masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Sejak kecil, mereka mula dilatih untuk berjalan naik tangga turun tangga di stesen subway (LRT). Bayangkan, stesen subway mereka sehingga empat tingkat di bawah tanah. Hanya warga emas yang betul-betul tua dan OKU saja yang menggunakan khidmat lif. Selain itu, mereka menjadikan amalan ber’hiking’ bersama keluarga sebagai rutin mingguan mereka.

Pemakanan mereka juga banyak membantu kerana menggunakan lebih sayur-sayuran, kurang bergoreng/berminyak dan bersantan, lebih bersup dan berjeruk.

Antara aktiviti yang gemar dilakukan di Seoul seperti hiking dan bermain bola sepak.
Antara aktiviti yang gemar dilakukan di Seoul seperti hiking dan bermain bola sepak.

Kurang 32kg pada Disember 2012.

Akhirnya, pada bulan Disember 2012, saya pulang ke Malaysia setelah selesai pembelajaran di sana. Berat badan saya turun hampir 35% iaitu sebanyak 32kg. Perkara pertama yang dilakukan keesokkan harinya ialah membuat rawatan pemeriksaan perubatan. Alhamdulillah, saya sihat di mana kesemua simptom yang tidak sihat sebelum ini telah tiada lagi. Saya amat bersyukur di atas pengalaman dan nikmat yang dikecapi.

Ceria semasa Hari Graduasi, Disember 2012. Berat 60kg.
Ceria semasa Hari Graduasi, Disember 2012. Berat 60kg.

Pada pendapat saya, tiada jalan mudah untuk mengejar setiap cita-cita. Ini termasuklah dalam proses untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Dapat saya simpulkan di sini, antara perkara yang penting adalah:

  1. Tambah ilmu pengetahuan. Fahami dulu ilmu tentang pemakanan, nutrisi, kalori, senaman dan sebagainya. Maklumat ini amat mudah didapati di Internet, buku, majalah, orang perseorangan dan lain-lain.
  2. Tetapkan target atau matlamat yang realistik yang hendak dicapai. Bak kata CEO saya, ‘impossible is nothing, nothing is impossible’.
  3. Yakin dengan keupayaan diri sendiri. “Kalau orang lain boleh buat, kenapa tidak aku”.
  4. Sentiasa berfikiran positif, kikis sifat merendah diri yang tidak kena tempat (low self-esteem) dan konsisten.
  5. Usah mudah berputus asa, tawakkal dan berdoalah kepada Allah.

Bukan salah makanan Malaysia.

Kini, setelah hampir lapan bulan saya pulang ke Malaysia, saya masih mengekalkan berat saya. Tujuan saya hanya satu, untuk hidup lebih sihat dan sempurna bersama keluarga tersayang. Masih terbayang dalam ingatan saya, pengalaman ketika saya dan isteri bercuti di Pulau Jeju, Korea Selatan. Ketika kami dalam perjalanan menaiki bas untuk ke Seongsan Ilchulbong Peak, seorang wanita yang sangat tua (dalam lingkungan 80 tahun) telah menahan bas di tepi jalan. Beliau masih mampu untuk menaiki bas dengan menggalas beg yang berat untuk ke pasar. Saya termenung sejenak dan berfikir. Saya selaku ketua keluarga harus mampu menjaga isteri dan anak-anak saya. Jika saya tidak sihat dan mendapat penyakit akibat berat badan yang berlebihan, silap-silap, diri saya pun tidak terjaga. Apetah lagi hendak menjaga orang lain. Mulai dari detik itu, saya lebih bersemangat untuk mengamalkan cara hidup yang lebih sihat.

Terkini semasa berbuka puasa, Julai 2013
Terkini semasa berbuka puasa, Julai 2013
Bersama keluarga tercinta di Putrajaya Floria, Jun 2013
Bersama keluarga tercinta di Putrajaya Floria, Jun 2013

Bagi mereka yang sedang menghadapi masalah yang sama seperti saya suatu ketika dahulu, saya doakan anda semua berjaya untuk mendapatkan berat badan ideal yang diimpikan dan semoga kekal sihat selalu. Percayalah kepada kemampuan diri sendiri.

PERCAYALAH, ANDA PASTI BOLEH!!!

Privacy Preference Center