- Home
- Success Stories
- Kisah Kurus: Zuhara Kurangkan 40kg dalam 2 tahun.
Kisah Kurus: Zuhara Kurangkan 40kg dalam 2 tahun.
Zuhara binti Zainal Abidin
- Umur: 33 tahun
- Tinggi: 157cm
- Berat Asal: 111kg
- Berat Sekarang: 70kg
- Pencapaian: kurang 55kg dalam 18 bulan
- Kerjaya: Bekerja sendiri
- Facebook: zuhara.zainal.abidin
- Instagram: @zuharaza
Assalamualaikum para pembaca,
Saya, Zuhara bt Zainal Abidin, berumur 33 tahun dan tinggal di Nilai, Negeri Sembilan. Sepanjang hidup saya memang berat berlebihan, bermula pada usia 13 tahun. Semasa kecil saya memang seorang yang sangat kurus hingga merisaukan keluarga. Ini kerana, saya tidak suka makan nasi dan sayur. Bermula usia 13 tahun, berat saya semakin bertambah dan bertambah dan tidak pernah kurus lagi sehinggalah sekarang. Saya bukanlah seorang ‘food addict’ tetapi saya memang tidak pernah ambil pusing tentang apa yang saya makan atau kuantiti makanan yang diambil. Selagi perut tidak penuh selagi itu saya akan makan sehingga betul-betul kenyang dan sengkak. Itu belum lagi dicampur dengan amalan suka minum minuman manis dan tidak suka langsung mengamalkan minum air putih (air kosong). Semasa umur belasan tahun, saya boleh minum air coklat kesukaan saya sebanyak satu jug besar seorang diri. Minuman coklat itu boleh habis satu tin dalam masa kurang seminggu!!
Dari segi aktiviti fizikal juga, saya memang bukan seorang yang suka bersukan atau aktif bersukan. Walaupun ada ketikanya saya ke sekolah menaiki basikal, tetapi itu bukanlah apa yang saya kategorikan sebagai ‘senaman’. Sesekali saya juga akan bermain badminton bersama adik-adik dan kakak-kakak saya tetapi bermain secaa santai sahaja.
Semakin lama, dari tahun ke tahun, berat saya semakin bertambah dan bertambah sehinggakan dari 2 angka mencecah ke 3 angka dalam masa beberapa tahun sahaja. Kemuncaknya pada awal Januati 2012, di mana penimbang saya menunjukkan angka 111kg. Pada waktu tersebut saya sangat terperanjat melihat angka tersebut dan secara tiba-tiba bertekad untuk terus berbuat sesuatu untuk menurunkan berat badan. Di dalam masa 2 bulan lebih, berat saya berjaya diturunkan sebanyak beberapa kg.
Banyak masalah yang telah saya alami apabila mempunyai berat badan obese. Di antaranya kesukaran mencari pakaian yang sesuai dengan saiz badan dengan harga yang berpatutan. Badan besar juga menyebabkan saya tidak membeli baju raya selama lebih 10 tahun kerana mahu menunggu badan kurus dahulu. Akibatnya saya kerap memakai pakaian yang sama berulang kali.
Walaubagaimanapun, titik permulaan proses perjalanan menurunkan berat badan saya bermula dengan program Cikgu Fitness Malaysia, iaitu En. Kevin Zahri.
Apa yang anda belajar dari Kevin Zahri
Saya memulakan perjalanan menurunkan berat badan secara serius pada 2012, iaitu apabila satu hari saya terbaca di satu majalah tentang satu pertandingan menurunkan berat badan selama 6 minggu. Sebaik sahaja saya membaca iklan tersebut, saya terus mengisi borang permohonan secara online dan beberapa minggu selepas itu, saya menerima berita gembira melalui emel yang mengatakan saya diterima menjadi salah seorang peserta program berkenaan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa program tersebut amat membuka mata saya tentang kesihatan badan secara menyeluruh. Buat pertama kalinya dalam hidup saya, saya belajar tentang apakah itu kalori, lemak, jenis lemak dalam badan, cara pemakanan yang betul dan sesuai, dan pelbagai informasi berguna lain yang tidak pernah saya ambil tahu sebelumnya. Saya memulakan azam untuk menukar gaya hidup saya kepada lebih sihat dan aktif.
Program tersebut juga sangat menarik minat saya kerana setiap minggu pelbagai aktiviti menarik dilakukan seperti paintball, larian 10km, seminar kesihatan, senamrobik, jungle trekking, cycle and hunt. Kesemua aktiviti ini sangat menarik pada pandangan saya kerana secara peribadinya saya belum pernah melakukan aktiviti-aktiviti tersebut sebelum ini, Jadi itu juga di antara sebab mengapa saya sangat berminat menyertai program tersebut. Alhamdulillah kesemua program tersebut berjaya dilaksanakan dengan jayanya tanpa sebarang masalah. Malah saya juga menerima ramai rakan baru melalui program ini.
Sejak 2012-2014, sebanyak empat kali program anjuran kevin zahri yang telah saya ikuti. Dan saya berjaya menurunkan banyak berat badan semasa berlangsungnya kesemua program tersebut.
Tidak keterlaluan untuk dikatakan program Kevin Zahri sangat membantu saya dan ianya sesuatu yang tidak akan saya lupakan sehingga akhir hayat saya.
Amalan gaya hidup dan diet sebelum sebelum berjaya kurang berat?
Sebelum 2012, seperti yang dinyatakan sebelum ini, saya memang makan apa sahaja tanpa rasa bersalah. Saya tidak pernah langsung memikirkan tentang kalori yang diambil mahupun yang dibuang. Saya tidak menganggap diri saya seorang yang cintakan makanan (food lover/food addict) kerana saya rasa cara pemakanan saya tidaklah keterlaluan. CUma satu sahaja masalah besar yang saya hadapi iaitu kesukaran meminum air putih dan kecintaan saya meminum air manis dan bergula tinggi. Sangat sukar untuk saya tinggalkan minuman manis di mana sahaja saya berada.
Satu lagi masalah ialah tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal khusus sebagai senaman. Gaya hidup sihat tidak pernah berada dalam diari hidup saya dan saya tidak begitu ambil peduli tentang perkara tersebut. Keluarga saya juga ramai yang berlebihan berat badan dan kami sama-sama tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mendapatkan kesihatan yang baik.
Sebagai seorang yang obese, sudah tentu dahulunya saya sangat terpengaruh dengan pelbagai iklan produk untuk menguruskan badan. Samada produk sapuan, makanan, minuman atau mesin, hampir kesemuanya saya sudah cuba. Semuanya tidak pernah menjadi, malah ada yang menyebabkan saya makan semakin banyak. RIbuan ringgit telah dihabiskan, malah kesihatan juga turut terancam akibat memasukkan pelbagai jenis bahan kimia dalam badan. Saya tidak pasti kenapa produk-produk tersebut tidak berjaya membantu saya menguruskan badan, samada saya tidak betul-betul berdisiplin semasa mengamalkannya atau sememangnya produk tersebut tidak sesuai untuk saya.
Amalan Diet Untuk Kurangkan berat badan?
Sebaik sahaja menyertai program anjuran Kevin Zahri tersebut, saya banyak belajar untuk mengurangkan berat badan secara sihat dan teratur. Pemakanan seimbang dan diet yang betul mual saya praktikkan.
Satu perkara yang banyak saya ubah semasa menyertai program tersebut adalah dengan banyak memakan sayur-syauran serta memasaknya dengan cara yang lebih sihat. Jika dahulu semuanya digoreng dengan minyak yang banyak, kini semuanya direbus, dikukus dan dibakar secara sihat. Rasanya lebih sedap dan kepuasan menikmati makanan juga lebih dirasai. Selain banyak makan sayur dan mengurangkan daging merah, saya juga mula belajar makan buah setiap hari. Jika dahulu saya jarang makan buah, tetapi kini saya akan makan sekurang-kurangnya sebiji oren dan epal setiap hari. Air putih juga saya cuba untuk ambil lebihlagi berbanding sebelumnya, namun kebanyakan hari memang saya hanya ambil sedikit sahaja kuantiti air putih kerana tidak biasa.
Di antara menu yang sering saya ambil setiap hari adalah ayam bakar dengan sayur campur bakar. Ini merupakan antara menu kesukaan saya. Roti juga saya sering ambil samada roti putih atau roti mil penuh (wholemeal). Roti ini kadang-kadang saya bakar dan makan bersama kaya atau bersama sandwich sardin. Sekali sekala saya akan makan nasi juga, bukanlah membuang terus nasi dari menu utama saya.
Saya juga banyak minum susu low fat kerana susu juga antara menu kegemaran saya. Selain rasanya yang memang sedap dan sesuai dengan tekak saya, ia juga sangat baik untuk tulang saya.
Apakah bentuk senaman yang anda amalkan?
Senaman juga mula saya praktikkan setiap hari. Semasa program tersebut, saya kerap menaiki basikal statik (stationary bike) setiap hari dan joging beberapa kali seminggu. Saya jarang pergi ke gym kerana tiada minat dan oleh kerana itu saya lebih suka menaiki stationary bike sahaja kerana saya suka berbasikal. Ianya memberi satu jenis kepuasan yang berbeza buat diri saya berbanding sukan lain. Joging juga sering saya lakukan pada awal pagi atau lewat petang untuk membakar lemak dan menggerakkan badan secara keseluruhan.
Saya juga mula mengenal sauna pada awal program ini dan kerap melakukan sauna, dalam 3-4 kali seminggu. Saya sangat suka bersauna kerana badan saya snetiasa rasa segar selepas bersauna dan lenguh-lenguh badan juga berkurangan.
Kini, sejak awal 2014, saya juga sering mengikuti kelas aerobik dan zumba anjuran gym dan individu di sekitar Nilai. Ia bukanlah antara aktiviti kegemaran saya tetapi ianya alternatif yang bagus kepada basikal dan joging. Sesekal kita harus juga bertukar jenis senaman supaya tidak cepat bosan.
Saya juga mula mengamalkan senaman circuit training samada di rumah atau pun semasa melakukan aktiviti di luar. Ia juga sesuatu yang baru bagi saya dan saya sukakannya, walaupun ada di antaranya yang agak sukar untuk saya lakukan.
Satu lagi ialah saya suka menyertai program larian samada untuk ‘charity’ atau anjuran syarikat-syarikat yang berkaitan. Walaupun saya tidak suka joging atau berlari, tetapi semasa berlari di dalam program tersebut ia memberi saya masa kepada diri saya sendiri untuk memikirkan tentang kehidupan dan apa yang saya hendak lakukan di dalam hidup.
Adakah anda gunakan suplemen?
Saya pernah menggunakan beberapa jenis produk menguruskan badan untuk membantu menurunkan berat badan. Tetapi hampir kesemuanya tidak berkesan dan jika berkesan pun hanya menurunkan sedikit sahaja berat badan saya. Saya pernah mencuba yang murah, yang mahal, produk tempatan mahupun antarabangsa, namun saya sering kecewa dengan hasil yang diperoleh. Saya tidak mahu menyebut nama-nama produk tersebut tetapi saya yakin untuk berkata kesemuanya bukan untuk saya.
- Sertai aktiviti riadah yang bersesuaian dengan minat anda (larian, zumba, aerobik, dll). Boleh juga menyertai pertandingan khusus untuk menurunkan berat badan seperti cabaran yang saya masuk anjuran kevin Zahri (Cabaran SIhat, Jom Kurus, Jom Kurus 1 Malaysia). DI samping mengurangkan berat badan, anda juga boleh mendapat rakan fitness baru yang sama-sama berjuang dan memahami apa yang anda lalui.
- Jangan ‘skip’ makan secara sengaja, atau laparkan diri anda untuk kurus. Sangat tidak berbaloi malah boleh membahayakan kesihatan anda.
- Amalkan minum air putih. Walaupun mudah untuk menyatakannya namun sangat sukar untuk melakukannya. Saya amat tahu tentang ini kerana saya sendiri seorang yang agak degil untuk membanyakkan minum air putih.
- Jangan pedulikan dengan sindiran sinis, perli, sikap negatif orang lain terhadap apa yang anda mahu buat. Tekadkan dalam hati anda membuat semua ini untuk diri sendiri dan bukan orang lain. Positifkan minda dengan membaca ayat-ayat motivasi dari orang yang berjaya dalam menguruskan badan dan ingat kata-kata tersebut. Selalunya ada rakan-rakan atau ahli keluarga yang mungkin bersikap negatif terhadap perubahan yang anda ingin lakukan. Jangan tunduk pada sindiran mereka!
- Bacalah pengalaman orang lain dalam perjalanan mereka mendapatkan berat yang diingini. Jangan segan bertanya tips-tips mereka dan cuba amalkan sendiri.
- Belilah buku KURUS yang ditulis oleh Sifu KEVIN ZAHRI kerana kesemuanya amat membantu dalam perjalanan anda untuk mendapatkan kesihatan yang terbaik. Anda tidak rugi walau satu sen pun, malah bakal mendapat banyak ilmu dan manfaat berguna.
Bagi yang berjaya kurangkan berat badan, maka tubuh pun jadi kurus. Macam ni sudah boleh pakai baju yang digemari bila tidak dapat pakai semasa gemuk.